Malaysia Dateline

Dr. Mujahid Yusuf Rawa

AMANAH Pulau Pinang rayu lebih ramai sukarelawan

Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa merayu bantuan lebih ramai sukarelawan dan sumbangan peralatan berkaitan ekoran banjir kilat yang teruk sejak kelmarin.

Beliau berkata, bah kali ini turut menenggelamkan aras bawah kediaman walhal situasi tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kami merayu semua petugas Peduli AMANAH supaya dapat memnberi bantuan makanan dan peralatan mencuci dan kenderaan 4×4,” katanya dalam paparan video yang dimuat naik di Facebook beliau.

Beliau juga memberitahu seorang warga emas telah meninggal dunia kerana tergelincir di tingkat bawah kediaman mangsa itu yang digenangi air.

“Minta semua AJK Negeri, Kawasan, Penjawat Awan, JKKK dan semua Ahli AMANAH turun membantu. Kita perlukan tenaga tuan/puan.

“Kita perlukan air mineral dan bekalan makanan. Kita juga perlukan 4×4, waterpump dan standby alat-alat pencucian dan lain-lain yang difikirkan perlu.

“Ya, kita perlukan ramai sukarelawan sekarang. Kita akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan badan-badan NGO untuk sama-sama membantu mangsa banjir,” kata Dr Mujahid lagi.

Beliau turut memberitahu Dewan JKKK Sungai Dua berperanan sebagai Pusat Operasi Banjir negeri dengan segala aktiviti penyelarasan dilakukan di lokasi tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laporannya memberitahu kejadian hujan lebat berterusan berserta angin kencang di Kedah dan Pulau Pinang pada 4 dan 5 November disebabkan oleh kehadiran sistem tekanan rendah di utara Semenanjung.

“Kawasan yang bertekanan udara rendah ini menyebabkan ia menjadi lokasi penumpuan angin dan kelembapan yang tinggi untuk menghasilkan hujan lebat yang berterusan,” dipetik daripada laporan itu.

Menurut jabatan itu lagi, wujud kelompok awan hujan berintensiti tinggi di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mulai 3 November sehingga semalam.