Malaysia Dateline

AMANAH Pulau Pinang sambut 31 Ogos bersama mangsa ‘kepala air’ di Yan, Kedah

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berterusan sejak sekian lama sehinggalah ulang tahun kemerdekaan negara ke-64 pada 31 Ogos semalam tidak menghalang AMANAH Pulau Pinang untuk meneruskan agenda peduli rakyat bukan saja di Pulau Pinang tetapi sehingga ke kawasan tragedi mangsa ‘kepala air’ di Yan, Kedah.

Dalam program peduli rakyat tersebut dengan diketuai oleh Pengerusinya, Dr Roslan Ahmad bersama-sama dengan barisan kepimpinan negeri dan juga pemuda telah mempelbagaikan sumbangan keperluan seperti almari plastik, periuk nasi elektrik, dapur gas, tikar getah dan keperluan harian yang lain.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad yang juga merupakan Pengarah POBA, sumbangan yang turut diterima adalah wang tunai sejumlah RM4, 000.

“Sumbangan yang diterima ini turut diagihkan kepada 100 orang penerima dari 5 buah kampung sekitar Yan.

“Adalah diharapkan dengan kepelbagaian sumbangan keperluan harian tersebut ia akan meringankan beban dan kos keperluan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga mangsa banjir ‘kepala air’ terlibat.

“Ia merupakan suatu kelainan apabila kita meraikan hari kemerdekaan negara ke-64 kali ini dengan turun padang menjenguk mereka yang terkesan dan memerlukan selepas tragedi yang amat menyedihkan,” ujar beliau.