Malaysia Dateline

AMANAH Pulau Pinang sambut baik usaha kerajaan bantu nelayan terkesan projek tambakan laut

Usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membantu komuniti nelayan yang terkesan dengan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) disambut baik oleh AMANAH Pulau Pinang.

Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad berkata, tindakan segera kerajaan negeri membuktikan nasib golongan yang terkesan tetap menjadi keutamaan.

Beliau berkata, AMANAH yakin pasukan petugas yang diketuai Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin mampu memberikan keadaan menang-menang kepada nelayan terlibat dan awak-awak dari unit nelayan Permatang Tepi Laut, Teluk Kumbar, Sungai Batu, Gertak Sanggul, Pulau Betong, Seri Jerjak, Batu Maung, Kuala Sungai Burung dan Teluk Tempoyak.

“Melalui dialog dan perbincangan, AMANAH optimis tawaran komprehensif dengan melihat secara menyeluruh kebajikan nelayan dan keluarga akan mendapat kerjasama dan sokongan mereka yang terbabit,” ujarnya.

Dr Roslan Ahmad

Sehubungan itu, beliau menyeru agar pihak- pihak tertentu menghentikan kerja-kerja jahat yang cuba bagi mengelirukan nelayan dan mensabotaj usaha baik kerajaan negeri membantu kelompok nelayan terlibat.

Dr Roslan turut mengingatkan kepada golongan tertentu yang cuba mengeksploitasi isu tersebut agar tidak mengeruhkan keadaan yang hanya akan merugikan kelangsungan kehidupan nelayan terbabit.

Difahamkan, terdapat pihak tertentu yang cuba menggagalkan usaha kerajaan negeri bagi mendapatkan maklumat terkini nelayan sehinggakan adanya rakaman video beberapa Ketua Unit Nelayan dari kawasan selatan Pulau Pinang menyeru agar nelayan tidak memberi maklumat mereka kepada pihak kerajaan negeri.

Pihak terbabit mendakwa tawaran saguhati yang akan dibayar secara berperingkat itu mengambil masa yang lama antara lima hingga tujuh tahun sedangkan pada hakikatnya adalah tidak benar sama sekali.

Dalam masa sama, Dr Roslan turut menyatakan bahawa kerajaan negeri telah dan sedang merangka usaha yang terbaik bagi nelayan terlibat dengan tujuan untuk melengkapkan profil nelayan dan keluarga mereka.

Profil tersebut, jelasnya, termasuklah mengemaskini maklumat anak-anak nelayan bagi tujuan perancangan program pendidikan dan merekod butir-butir bank bertujuan pembayaran untuk mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih dikesali ialah tindakan sesetengah pihak cuba menimbulkan kekeliruan dan ketakutan kepada nelayan sehinggakan maklumat sebenar tidak diterima dan mengugut nelayan dengan pelbagai dakwaan yang tidak benar serta amat mengelirukan.

Susulan itu, Dr Roslan menasihatkan Ketua-Ketua Unit Nelayan dari kawasan Selatan Pulau Pinang agar mengatur pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi membolehkan maklumat yang tepat diperoleh serta pandangan mereka didengari.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri sudah pasti memberi keutamaan kepada kebajikan dan membela nasib golongan nelayan dan keluarga mereka dengan pelbagai kaedah dan sokongan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan pihak terbabit mendapat pembelaan yang sewajarnya.