Malaysia Dateline

AMANAH Pulau Pinang seru batalkan kongres bantah tulisan Jawi

Dr Zaidi Zakaria

AMANAH Pulau Pinang menyeru semua pihak supaya bersikap rasional dan tidak emosional soal pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di semua sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

Naib Pengerusi I AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, tulisan jawi hanyalah tulisan asli dan merupakan tulisan asal bahasa Melayu yang merupakan satu khazanah budaya, bangsa dan negara.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH negeri itu, keputusan Kementerian Pendidikan perlu dilihat sebagai suatu usaha untuk mengembalikan keasilan bahasa Melayu dan memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan.

“Semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 28 November lalu yang menolak permohonan parti Gerakan yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

“Keputusan yang telah diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh bahawa tulisan Jawi adalah sebahagian daripada bahasa Malaysia, yang juga bahasa kebangsaan.

“Mahkamah Tinggi berpendapat, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Sehubungan itu, AMANAH Pulau Pinang, tegas Dr Zaidi, pembelajaran tulisan Jawi hanyalah satu pembelajaran bahasa kebangsaan dan bukannya pembelajaran Pengajian Islam atau satu kaedah menyebarkan agama Islam kepada pelajar bukan Islam.

Sejajar dengan itu, jelasnya lagi, AMANAH Pulau Pinang menyeru semua pihak agar tidak mengadakan perhimpunan protes anti tulisan Jawi yang boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Untuk rekod, gabungan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang dikenali sebagai Dong Jiao Zong menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres membantah pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular pada 28 Disember ini.

Kongres itu dijadual berlangsung di Kolej New Era, Kajang dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Ogos lalu, sembilan pertubuhan berkaitan pendidikan Cina membantah pelaksanaan tulisan jawi untuk pelajar Tahun Empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) di negara ini.

Ekoran itu, Kabinet memutuskan pengajaran tulisan jawi itu tertakluk kepada persetujuan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sekolah vernakular.