Malaysia Dateline

AMANAH Pulau Pinang tetap pertahan lima kerusi DUN, sasar dua kerusi tambahan

AMANAH Pulau Pinang akan tetap mempertahankan lima kerusi yang pernah ditandingi dalam pilihanraya umum (PRU) yang lalu dan menyasarkan untuk menambah dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam PRU ke-15 yang akan datang.

Setiausahanya, Mohd Saifullah Abd Nasir berkata, tambahan kerusi tersebut amat penting bagi memastikan AMANAH dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan komponen parti yang lain di Pulau Pinang.

Malah tegasnya, AMANAH ingin buktikan bahawa parti itu mempunyai ramai calon yang berkaliber untuk ditampilkan sebagai pemimpin rakyat yang mampu berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat di negeri itu.

“AMANAH mempunyai calon-calon yang berkualiti dan adanya karisma untuk sama-sama menyumbang kepada rakyat dan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Manakala kerusi Parlimen Kepala Batas yang ditandingi oleh AMANAH akan tetap dipertahankan termasuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang telah diberi laluan kepada Bersatu dalam PRU yang lalu.

“Gerak kerja yang komprehensif telah ada dan pasukan tambahan telah diwujudkan bagi memastikan kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor menjadi milik AMANAH untuk dimenangi dalam PRU ke-15 nanti,” katanya kepada Malaysia Dateline

Tambahnya, Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Parlimen Tasek Gelugor yang diketuai Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria bersama komponen parti sedang menyelaras gerak kerja bagi kawasan Parlimen tersebut.

Kata Saifullah lagi, AMANAH Pulau Pinang mahu seganding komponen yang lain dengan turut menampilkan beberapa reformasi dan perubahan yang terdiri dari calon yang seimbang melibatkan mereka yang senior, wanita, pemuda termasuk pembahagian yang adil untuk semua sayap dan calon kawasan.