Malaysia Dateline

AMANAH Pulau Pinang tolak politik ekstrimis kaum dan agama

AMANAH Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya politik perkauman dan ekstremis agama kerana ia mampu menimbulkan fitnah dengan dahsyat atas garis perkauman.

Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad dalam kenyataan beliau berkata, perbezaan ideologi dan fahaman politik tidak sepatutnya dikaitkan dengan khidmat, sumbangan dan akhlak seseorang membabitkan politik bangsa dan agama.

“Tindakan memfitnah dua Ahli Parlimen dan seorang Adun bukan Islam di Pulau Pinang baru-baru ini ekoran bantuan yang dihulurkan tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi yang bertindak demikian adalah terdiri dari ahli akademik serta pimpinan parti politik yang sering menjadikan agama sebagai tunggangan mereka.

“Walaupun mereka menyedari berada dalam batas-batas puasa yang menegah memfitnah serta mengadu domba, tetapi oleh kerana desakan kuat sentimen perkauman dan agama yang menebal akhirnya ia tidak mampu dihalang sehingga ianya terjadi.

” Sepatutnya bantuan kepada golongan yang susah terutamanya dalam menghadapi kepayahan hidup di musim Covid-19 tatkala ini dihargai serta provokasi dielakkan walaupun sokongan bantuan tersebut merentasi batasan kaum dan agama,” ujar beliau.

Tegasnya lagi, sewajarnya sangkaan baik disemat dalam jiwa apabila mereka yang memerlukan dibantu dan disantuni oleh sesiapa sahaja tanpa ada perasaan prejudis.

Sehubungan itu tambah beliau, PH yang mewakili pelbagai etnik akan cuba sedaya mungkin menyuburkan toleransi dan keharmonian kaum serta agama di Pulau Pinang dan tidak akan membiarkan wujudnya usaha sesetengah pihak yang ingin mengganggu-gugat keharmonian kaum yang telah sekian lama terjalin di negeri ini maupun dalam negara.