AMANAH Pulau Pinang menolak budaya politik bersifat fitnah, jijik dan mengaibkan.
Pengerusinya Dr Roslan Ahmad berkata, pihaknya menyokong segala usaha membersihkan nama Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil berhubung tuduhan mencabul seorang wanita berusia 31 tahun.
“Kami akan mempertahankan beliau dan percaya beliau tidak sama sekali terlibat dalam perbuatan tersebut.
“Suhu politik negara dan pertikaian mengenainya tidak seharusnya sama sekali membawa kepada penyuburan budaya yang cukup jijik dan hina sebegini,” katanya pada satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya berdoa dan berharap Faiz yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu berada di pihak yang benar.
“Apa pun, kami memahami proses undang-undang perlu berjalan dengan adil. Kami berharap keadilan akan akhirnya terpancar dengan siasatan yang adil, saksama dan tanpa dipengaruhi sebarang faktor lain,” ujarnya.
Semalam, Faiz dalam satu kenyataan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya berhubung tuduhan mencabul seorang wanita pada Januari lalu.
Anak bekas Presiden Pas, Alllahyarham Datuk Fadzil Noor berkenaan turut mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan laporan polis berkaitan tuduhan itu.
Faiz yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu menafikan tuduhan tersebut dan buat buat masa ini akan meneruskan tugasnya sebagai Adun seperti biasa.
Sehubungan itu, Dr Roslan menegaskan bahawa “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah.”
“Kami juga menolak desakan beberapa pihak dan mahu beliau terus menjalankan tugas sebagai Adun Permatang Pasir,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, AMANAH Pulau Pinang menyeru semua ahli agar bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasaskan fakta serta menghormati proses undang-undang.
Terdahulu, dilaporkan seorang Adun dari utara Semenanjung disiasat polis atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai wanita ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.
Dalam laporan polis pada 16 Mac, wanita itu mendakwa suspek cuba memegang tangannya namun ditepisnya, dan di dalam kereta suspek kemudiannya, suspek didakwa meraba, menarik bahu pengadu dan memegang tangan wanita itu tetapi ditolaknya.
Laporan wanita itu turut menyatakan suspek mengingatkannya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian berkenaan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung dengan menggunakan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.