Amanah rakam takziah kematian peguam Islam ternama Myanmar

Amanah rakam takziah kematian peguam Islam ternama Myanmar

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa merakam ucapan takziah atas kematian peguam Islam terkenal dan anggota dalam parti pemerintah Myanmar.

U Ko Ni, 65, penasihat undang-undang dalam parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi ditembak mati bersama dengan pemandu teksi di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, Ahad lalu.

Mujahid berkata, Ko Ni memperjuangkan undang-undang anti-diskriminasi dan kebebasan agama, sesuatu yang sangat diperlukan di Mynmar dalam krisis penindasan ke atas agama selain Buddhism.

“Saya mengucapkan takziah atas kematian Allahyarham Ko Ni. Saya menegenalinya dalam misi Mynmar tahun lepas.

“Allahyarham sangat dihormati oleh Aung San Suu Kyi dan partinya. Beliau terkenal sebagai pro-aktif dalam kerangka demokrasi memperjuangkan nasib minoriti khususnya Rohingya dan minoriti kristian Chin,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Ko Ni ditembak oleh pembunuh upahan ketika beliau hendak menaiki teksi di luar lapangan terbang itu pada jam 5 petang waktu tempatan.

“Menurut maklumat awal, Ko Ni dan pemandu teksi terbunuh,” kata sumber keselamatan di lapangan terbang yang meminta namanya tidak didedahkan, memetik laporan AFP.

“Seorang lelaki tidak dikenali menembak Ni di kepala ketika beliau sedang mengambil teksi. Penembak itu kemudian ditangkap,” kata sumber itu.

Sementara itu, jurucakap di pejabat presiden, Zaw Htay berkata Ko Ni baharu pulang dari rombongan delegasi kerajaan di Indonesia.

 

TAGS