Malaysia Dateline

AMANAH rakam takziah kepada Najib dan keluarga

Parti AMANAH Negara (AMANAH) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Seri Najib Razak atas kehilangan ibunya Tun Rahah Mohd Noah.

Perkara tersebut dirakamkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menerusi hantaran Facebooknya yang mewakili kesemua pimpinan parti.

“Salam takziah dari kami pimpinan dan ahli AMANAH kepada Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan seisi keluarga atas kehilangan bonda tercinta, Tun Hajah Rahah Mohd Noah.

“Semoga Allah merahmati rohnya, memuliakan kematiannya, menerima segala amalan kebaikannya, mengampuninya, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Aamiin Ya Rabbal Alamin,” tulisnya.

Allahyarhamah Rahah merupakan balu kepada bekas Perdana Menteri kedua negara, Allahyarham Abdul Razak Hussein.

Sebentar tadi melalui Facebook Najib, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan ibunya menghembuskan nafas di sebuah hospital swasta hari ini.

“Innalillahwainnailaihirojiun. Bonda saya sudah tiada. Kami sekeluarga di hospital.

“Kesedihan dan air mata mengalir. Tiada kata-kata untuk kehilangan ini,” tulisnya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin lain sempat menziarahi Allahyarham.