AMANAH rakam takziah pemergian bekas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin

AMANAH rakam takziah pemergian bekas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Ikhwan Muslimin atas kehilangan bekas Mursyidul Am mereka Mohammed Mahdi Akef.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, AMANAH turut merasai kehilangan dengan pemergian tokoh dakwah daripada Ikhwan Muslimin ini.

“Mahdi Akef pernah menghadiri Muktamar Parti Islam SeMalaysia sebagai tetamu dan saya sempat mengiringi beliau semasa berada di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammed Mahdi meninggal dunia pada usia 89 tahun di Hospital Kaherah, semalam.

Sepuluh bulan sebelum kematiannya, Mohammed Mahdi dipindahkan dari penjara ke Hospital Kaherah untuk rawatan kanser, kata peguam, Abdel Moneim Abdel Maqsud.

Allahyarham ditangkap dan dipenjarakan pada 2013 selepas tentera diketuai Abdel Fatah el-Sisi merampas kuasa daripada Presiden Mohamed Morsi, serta memenjarakan penyokong dan anggota Ikhwanul Muslimin.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau hairan dengan negara yang tidak mengamalkan penghormatan ke atas hak asasi manusia seperti Mesir, Arab Saudi dan beberapa negara Arab yang lain terus menjadi negara yang dilindungi oleh Amerika dan kuasa-kuasa utama Eropah lain seperti England, Perancis dan lain-lain.

“Oleh itu perjuangan hak asasi manusia, kebebasan untuk bergerak, kebebasan untuk berpolitik dan berdakwah tanpa mengangkat senjata dan menggunakan kekerasan perlu diperjuangkan secara berterusan oleh kita semua,” katanya.