Amanah Sabah akan perjuangkan Perjanjian Malaysia 1963

Amanah Sabah akan perjuangkan Perjanjian Malaysia 1963

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sabah akan terus menjadikan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai teras perjuangan bagi mengembalikan hak rakyat Sabah.

Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah berkata, alasan Malaya menjajah Sabah timbul disebabkan kegagalan pentadbiran Barisan Nasional(BN).

“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kita perjuangkan (hendaklah) didahului dengan menyemarakkan kekayaan bumi Sabah yang berada dalam kawalan kita jika kita menang PRU14, bukan lagi menggunakan alasan Malaya menjajah Sabah disebabkan fokus Sabah for Sabahan sudah hilang selepas mendapat kuasa,” katanya.

Ujar beliau lagi, slogan ‘Sabah for Sabahans’ pernah digunakan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menang pada Pilihan Raya Umum tahun 1985.

Menurut Hamzah, Pakatan Harapan (PH) akan mengembalikan semula hak dan kekayaan rakyat Sabah sekiranya diberikan peluang untuk memerintah.

“Kita akan kembalikan tanah-tanah adat yang telah dirampas BN. Kita akan batalkan geran komunal (communal title) kepada geran individu (individual title), kampung-kampung tradisi yang dianggap setinggan oleh BN akan diwartakan,” katanya.

Berkaitan isu pendidikan, Hamzah berkata, pelajar-pelajar di Sabah seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sabah selain memperhebat latihan vokasional serta keterlibatan anak muda dalam sektor pertanian.

“Kita akan pastikan pelajar-pelajar Sabah dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sabah dengan tanpa perlu pinjaman PTPTN.

“Kita akan pastikan Saham Amanah Rakyat Negeri Sabah yang dibatalkan zaman PBS dipulihkan semula,” katanya.

Menurut beliau juga, rakyat Sabah sepatutnya menikmati hasil minyak negeri Sabah dengan lebih baik.

“Kita akan pastikan royalti/revenue minyak dari Sabah dirasai sama nikmatnya oleh rakyat Sabah. Membina lebih banyak rumah-rumah PPR dan mengagihkannya secara adil,” katanya.

TAGS