Amanah Sabah  bantu mangsa banjir Kota Marudu

Amanah Sabah bantu mangsa banjir Kota Marudu

Pemuda Amanah Negeri Sabah bersama anggota ARiF Negeri Sabah telah menghantar bantuan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir yang melanda daerah itu baru-baru ini.

Rombongan seramai 10 orang terdiri daripada Ketua Pemuda Negeri Khairuddin bin Daud, Timbalan Ketua Pemuda Yusnizam dan AJK Pemuda, telah menyampaikan sumbangan kepada 47 buah keluarga di Kampung Ongkilan dan Kampung Tandek.

Sumbangan yang disampaikan adalah barang keperluan makanan harian seperti beras, kopi dan air minuman.

Menurut Khairuddin, sumbangan daripada orang ramai itu yang dikumpulkan di Markaz Peduli Amanah di Kota Kinabalu dan Sandakan.

“Kami telah membuka Markaz Peduli Amanah di Sandakan dan Kota Kinabalu bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kota Marudu. Selama seminggu kami membuka markaz peduli ini sebanyak 50 kampit beras telah kami terima daripada orang ramai.”

Khairuddin juga turut menyampaikan rasa prihatin kepada mangsa banjir dan menasihati mereka agar bersabar dengan ujian yang menimpa.

“Kami di peringkat Amanah hanya boleh membantu apa yang termampu hasil daripada amanah rakyat Sabah yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir di sini. Di harapkan agar mangsa yang terjejas akibat daripada banjir terus bersabar dan tabah menghadapi bencana ini dan kita akan usahakan penyelesaian terhadap isu banjir ini.”

Turut hadir bersama Ketua Cabang Keadilan Kota Marudu, Kahar Abdul Rahman menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir Kota Marudu.

Banjir yang melanda Kota Marudu telah melibatkan 1044 buah keluarga dan lebih 3000 orang penduduk di daerah yang terkenal dengan Pesta Jagung ini.

Setakat ini kebanyakan penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing dan usaha pembersihan serta pemulihan rumah sedang dijalankan.

Sebarang sumbangan boleh terus berhubung dengan wakil Amanah Kota Marudu iaitu Zaidi Jatil di talian 0168012801.

TAGS