Malaysia Dateline

AMANAH Sabah gesa beri bantuan Bakul Makanan kepada rakyat

Parti AMANAH Negara Negeri Sabah menggesa agar kerajaan negeri mengagihkan bantuan Bakul Makanan Asas kepada rakyat di negeri yang terjejas akibat banjir selain pengisytiharan darurat yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Sabah Zaidi Jatil, seramai 737,747 rakyat Sabah telah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan jika dijumlah dengan RM100 , maka ia hanya mencecah RM73.7 juta keseluruhan peruntukan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Sabah Zaidi Jatil,

Justeru, kata beliau, ia adalah tidak menjadi satu jumlah yang sangat tinggi bagi Kerajaan Negeri Sabah berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri yang dilihat masih kukuh.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri boleh melibatkan persatuan-persatuan kebajikan di setiap daerah untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan mengagihkan bantuan tersebut.

“Ia adalah bertujuan supaya bantuan itu segera sampai kepada rakyat yang memerlukan.

“Ini kerana, kita mahu supaya bantuan ini dipercepatkan memandangkan ramai rakyat yang terjejas akibat keadaan banjir selain pengumuman darurat semalam,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dihantar ke Malaysia Dateline hari ini.

Tegas Zaidi, dalam situasi yang semakin mendesak kini, kerajaan sepatutnya prihatin terhadap isu kebajikan rakyat dan bukan hanya retorik dan janji politik sahaja.

Malah, beliau dan rakan-rakan pimpinan Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah (PKKS) sedia menawarkan khidmat sukarela membantu kerajaan bagi mengagihkan bantuan itu yang mana sebelum ini telah bergerak ke setiap pelusuk kampung bagi mengagihkan bantuan semasa PKP fasa pertama dan PKPB hasil daripada sumbangan orang ramai dan syarikat-syarikat korporat.