AMANAH Sabah kerah ahli keluar mengundi esok

AMANAH Sabah kerah ahli keluar mengundi esok

Parti AMANAH Negara Negeri Sabah akan mengerahkan kesemua ahli dan pengundinya akan turun pada Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang diadakan esok.

Setiausaha AMANAH Sabah, Jamil Shaari berkata, pihaknya akan memastikan seramai 500 ahli parti untuk turun mengundi seawal mungkin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing nanti.

Katanya, setakat ini gerak jentera parti telah memaklumkan kepada semua pengundi khususnya ahli AMANAH di Dewan Undangan Negeri (Dun) Membakut untuk turun beramai-ramai mengundi sekali gus bakal memberi kemenangan calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang pada PRK kali ini.

Jamil Shaari

“In shaa Allah…kita akan pastikan kesemua ahli AMANAH di Parlimen Kimanis akan turun mengundi pada Sabtu ini (esok)di PDM masing-masing.

“Semoga undi mereka mampu memberikan kemenangan kepada calon Warisan, Datuk Karim Bujang pada PRK kali ini,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline di Membakut, Sabah hari ini.

Menurut Jamil, 500 ahli AMANAH di Parlimen Kimanis terdiri daripada tujuh cawangan yang telah ditubuhkan iaitu di Kampung Mawao Laut, Mawao Lumpayas, Mawao Ulu, Tahak, Kabang, Kabang Ulu dan Dungau.

Jelasnya, tujuh cawangan terbabit adalah terletak di dalam kawasan Dun Membakut sekali gus berupaya menyumbangkan jumlah undi kepada calon Warisan.

Pada masa sama, beliau yakin bahawa ahli-ahli AMANAH akan memberi seratus peratus undi kepada calon Warisan berdasarkan gerak kerja yang dilaksanakan di peringkat jentera parti sepanjang kempen diadakan.

“Saya yakin dan optimis bahawa semua ahli AMANAH di Kimanis akan tetap memberi undi kepada calon Warisan, Datuk Karim Bujang berdasarkan gerak kerja yang dijalankan sejak 4 Januari lalu,” tegas beliau.

Pada PRK kali ini, Parti Warisan Sabah (Warisan) telah mengumumkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, sebagai calon parti berkenaan.

Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Ketua Umno Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon mereka.

Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada PRU14, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula meraih 1,300 undi.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis kali ini merangkumi seramai 29,664 pengundi semuanya di Dun Bongawan dan Membakut.
Attachments area