AMANAH Sabah mahu Menteri KPKT pertimbang bina Balai Bomba di Pulau Banggi

AMANAH Sabah mahu Menteri KPKT pertimbang bina Balai Bomba di Pulau Banggi

AMANAH Sabah mendesak agar cadangan pembinaan Balai Bomba di Pulau Bangi dapat disegerakan selepas dua tahun cadangan itu tidak mendapat perhatian Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ketua Pemudanya Khairuddin Daud berkata, atas faktor jarak yang jauh dari tanah besar Kudat, bilangan penduduk yang ramai dan keluasan pulau ini, penduduk Pulau Banggi amat memerlukan sebuah balai Bomba berbanding sukarelawan bomba yang diwujudkan sejak 2016.

“Kemudahan Bomba sukarelawan seperti jentera bomba dapat dilihat jelas tidak dapat digunakan sewaktu kebakaran berlaku pada 13 Januari 2019.

“Insiden kebakaran yang berlaku di Kg. Perpaduan Karakit, Pulau Banggi, memusnahkan 81 buah rumah menyebabkan 300 orang penduduk hilang tempat tinggal, memberikan gambaran yang jelas kepada kerajaan tentang keperluan untuk membina sebuah balai bomba di Pulau Banggi.

“Anggota bomba dari tanah besar Kudat dikerahkan ke Pulau Banggi untuk memadam kebakaran di Kg. Perpaduan, Karakit Pulau Banggi.
Namun, difahami, atas faktor jarak perjalanan yang jauh, kebakaran tidak sempat dikawal dan turut mengakibatkan rumah guru terbakar,” ujarnya dalam kenyataan.

Kata beliau lagi cadangan pembinaan balai bomba di sana bukanlah baru, tetapi telah dicadangkan oleh pihak Bomba sejak 2 tahun lalu.

“Berdasarkan kepakaran anggota Bomba dalam menilai keperluan membina balai Bomba dan fasiliti lain, Menteri perlu membuat pertimbangan sewajarnya untuk membina balai bomba di Pulau Banggi.

“Pulau Banggi dengan jumlah penduduk 22,000 di lebih 40 buah kampung adalah sebuah pulau yang terbesar di Malaysia.

“Satu-satunya laluan selain udara, untuk ke Pulau Banggi hanyalah melalui jalan laut yang mengambil masa kira-kira sejam setengah.

“Kemudahan seperti balai Polis, Pos Askar, Klinik Kesihatan, sekolah dan masjid terdapat di Karakit, Pulau Banggi. Selain itu, Felcra juga membuka industri penanaman getah pada skala besar di Pulau Banggi,” ujarnya.

“Kali terakhir balai Bomba siap dibina di daerah Kudat adalah pada tahun 1973, iaitu kategori C. Justeru adalah wajar bilangan balai bomba dan anggota Bomba ini ditambah,” katanya.

Sebelum ini Timbalan Menteri KPKT, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah telah mencadangkan untuk membina balai Bomba kategori E susulan insiden kebakaran ini.

Gesaan yang sama juga sudah dibuat oleh Adun Banggi Mohammad Mohamarin, merangkap Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, sejurus selepas insiden kebakaran ini berlaku.

Namun apa yang menyedihkan ujar Khairuddin lagi,kemudahan mencegah kebakaran seperti pemadam api, ‘emergency button’, ‘hose reel’, pengesan asap dan sebagainya, yang terdapat di Klinik Kesihatan Pulau Banggi rosak dan gagal berfungsi.

“Sekiranya kebakaran berlaku di satu-satunya klinik di Pulau Banggi, adakah perlu menunggu Bomba daripada tanah besar Kudat datang untuk memadam kebakaran?” ujarnya.