Malaysia Dateline

AMANAH Sabah rakam takziah buat keluarga mendiang Pengerusi DAP negeri

AMANAH Sabah hari ini mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang Pengerusi DAP negeri, Datuk Stephen Wong Tien Fatt merangkap Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta Ahli Parlimen Sandakan.

Pengerusi AMANAH Sabah, Haris Alimudin berkata, pihaknya turut berkongsi rasa duka yang tidak terhingga dengan semua anggota DAP di seluruh negara khususnya di negeri itu.

Beliau menyifatkan Stephen Wong sebagai pemimpin yang telah menyumbangkan jasa besar kepada Negeri di Bawah Bayu itu.

“AMANAH Sabah juga menyatakan bahawa sepanjang perkhidmatan mendiang di Parlimen Sandakan, Datuk Stephen telah menunjukkan prestasi dan perkhidmatan yang luar biasa kepada rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

“Mendiang telah meninggalkan legasi dan jasa yang tidak terhingga kepada rakyat Sandakan dan Sabah amnya.

“AMANAH Sabah sekali lagi merakamkan rasa dukacita atas pemergian mendiang Datuk Stephen Wong,” dipetik dari kenyataan itu lagi.

Stephen Wong merupakan Ahli Parlimen Sandakan selama dua penggal selepas berjaya mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau meninggal dunia pada usia 64 tahun akibat serangan jantung pada pagi tadi.

Haris (kanan) Bersama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan mendiang Stephen Wong.