Malaysia Dateline

AMANAH Sabah sokong keputusan Shafie

Parti AMANAH Negara Negeri Sabah menyokong dan menyambut baik tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam mengekalkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu (gambar atas) berkata, dengan sokongan Shafie itu telah meletakkan Sabah sebagai negeri pembangkang di peringkat persekutuan.

Katanya, AMANAH Sabah akan sentiasa memberi sokongan penuh dan bekerjasama dengan parti komponen di negeri ini bagi memantapkan sokongan politik agar Sabah terus dalam keadaan baik dan stabil di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Semangat rakan perjuangan bersama ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu merupakan satu titik persamaan apabila Parti AMANAH dan Warisan mempunyai satu misi iaitu menjatuhkan kepimpinan di bawah Barisan Nasional (BN) agar satu kerajaan baharu yang telus dan mendapat sokongan rakyat dapat dibentuk dan memimpin negeri ini.

“Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu dan membentuk Kerajaan Perikatan Nasional bersama BN, PAS, GPS serta wakil rakyat bebas.

“Tetapi jumlah pecahan sokongan sebenar 222 Ahli Parlimen masih dipersoalkan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline di Kota Kinabalu hari ini.

Lahirul menegaskan, selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sesi parlimen akan datang.

Tambah beliau lagi, Sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung 9 Mac ini, ditunda kepada 18 Mei depan.