Malaysia Dateline

AMANAH Sabah sokong Warisan bubar Dun

Parti AMANAH Negara Negeri Sabah menyokong penuh tindakan Ketua Menteri, Dato’ Seri Shafie Apdal yang mengambil keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)hari ini.

Menurut Naib Pengerusi AMANAH Sabah, Jamil Shaari, keputusan pembubaran itu akan memberi peluang kepada seluruh pengundi di negeri ini untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar ikhlas berkhidmat kepada mereka.

Katanya, tindakan beberapa wakil rakyat dilihat berpaling tadah dan ‘melompat’ dari parti ke parti adalah dilihat tidak menghormati mandat yang telah diberikan rakyat dan pengundi pada pilihan raya sebelum ini.

“Secara jujurnya kami dari AMANAH Sabah menyokong penuh dengan tindakan Ketua Menteri, Dato’ Shafie Apdal untuk membubarkan DUN sekali gus membuka peluang untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam jangka masa 60 hari ini.

“Dan saya juga yakin bahawa rakyat di Sabah amat bersyukur kerana mandat untuk memilih pemimpin dan wakil rakyat dikembalikan kepada mereka,” ujar beliau ketika dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.

Jamil menegaskan, rakyat Sabah berhak untuk memilih kerajaan baharu tanpa dibayangi keputusan wakil rakyat yang seolah-olah mengenepikan pilihan pada PRN lalu.

Katanya lagi, ada kemungkinan juga keputusan pembubaran itu adalah salah satu petunjuk kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membuat kiraan yg terbaik untuk turut membubarkan Dewan Rakyat dalam masa terdekat ini.

“Memandangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’, Perdana Menteri seharusnya turut mengambil keputusan yang sama,” jelas beliau lagi.

Sebelum itu, Shafie telah mengumumkan ‘pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Majlis pengumumun itu disampaikan beliau ketika sidang media yang berlangsung di Kota Kinabalu tengah hari tadi

Shafie berkata, beliau telah mengadap Yang Di-Pertua Negeri Tun Dr Juhar Maharuddin sekali gus memohon untuk membubarkan DUN Sabah.

“Pagi tadi saya bertemu Yang Di-Pertua Negeri dan telah diperakukan untuk membubarkan dewan.

“Dengan ini, kita serahkan kepada rakyat untuk memilih wakil pemimpin mereka pada pilihan raya negeri nanti,” katanya.