Malaysia Dateline

AMANAH Sabah yakin Warisan dan UPKO kekal bersama PH

Parti AMANAH Negeri Sabah melahirkan keyakinan bahawa Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) tetap kekal bersama dengan Pakatan Harapan dalam memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Sabah, Zaidi Jatil, walaupun PH merupakan rakan sekutu bersama Warisan dan UPKO, namun kerjasama yang ditunjukkan amat baik malah mampu membawa Sabah dalam misi mensejahterakan kehidupan rakyat keseluruhannya.

Justeru jelasnya, saranan Ketua Pemuda Umno Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain supaya pemimpin Perikatan Nasional menolak sebarang usaha Warisan dan UPKO untuk menyertai mereka adalah tidak berbangkit sama sekali.

“Timbalan Presiden (Warisan), Datuk Darell Leiking dalam kenyataannya tidak menyokong kerjasama dengan kerajaan korupsi yang telah dikalahkan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Maka, idea untuk bekerjasama semula dengan sebuah kerajaan yang korupsi itu adalah sesuatu yang tidak akan diterima atau dipertimbangkan,” ujar beliau semasa dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.

Tegas Zaidi lagi, Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah tumbang selepas 60 tahun memerintah kerana rakyat tidak mahu lagi dipimpin oleh segolongan mereka yang terpalit dengan skandal rasuah dan hal lain.

“AMANAH Sabah tetap memberi sokongan penuh kepada Warisan dalam mentadbir kerajaan negeri ini yang diterajui oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Sri Panglima Shafie Haji Apdal.

“Saya yakin dengan kerjasama yang baik antara PH dan Warisan serta UPKO akan menjadi gabungan yang kuat di Sabah, malah menafikan bahawa kerajaan negeri ini akan tumbang.

“Hal ini tidak akan berlaku sama sekali kerana saya percaya wakil rakyat yang ada dalam PH Sabah, Warisan dan UPKO adalah mereka yang mempunyai prinsip dan integriti yang tinggi serta tidak akan mengkhianati mandat yang rakyat telah berikan,” tambah beliau.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Sabah, Ir Abdul Aziz dipetik dalam Sinar Online telah menyatakan agar pemimpin Perikatan Nasional menolak sebarang usaha Warisan dan sekutunya di Sabah untuk menyertai perikatan itu.

Menurutnya, gabungan Warisan-PH-UPKO boleh menjadi pembangkang yang baik sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Pembangkang ada peranan yang besar kepada rakyat memandangkan gabungan itu masih kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau turut optimis penyertaan Warisan ke dalam Perikatan Nasional juga akan mencetuskan konflik kepentingan antara parti-parti kerajaan terutamanya isu Ketua Menteri Sabah yang bakal diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan nanti.