Malaysia Dateline

AMANAH sah bertanding di 9 kerusi DUN Sarawak

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak mengesahkan akan bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang dijangka diadakan November ini.

Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili berkata, antara kerusi yang bakal ditandingi itu ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang dan Gedong.

Kerusi lain, katanya termasuk Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

“In shaa Allah…setakat ini, saya boleh mengesahkan bahawa AMANAH bakal meletakkan calon di sembilan kerusi DUN pada PRN12 kelak.

“Keputusan ini telah pun mendapat persetujuan dalam konsensus Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang terdiri daripada PKR dan DAP,” tegas beliau.

Abang Halil menjelaskan, walaupun AMANAH hanya bertanding di sembilan kerusi, namun kawasan DUN yang akan ditandingi itu dilihat memiliki potensi yang amat cerah bagi mencapai keputusan yang baik.

Tambah beliau, memandangkan PRN12 Sarawak kali ini dijangka akan diadakan hujung tahun ini, pihaknya telah mengarahkan semua jentera di kawasan untuk melipatgandakan aktiviti mendekati rakyat.

“Justeru, saya berharap semua jentera AMANAH di kawasan dapat menggerakkan program dan aktiviti bagi menyantuni penduduk dan pengundi.

“Malah, beberapa program yang ditangguh sebelum ini akan diteruskan walaupun hanya berskala kecil,” ujarnya lagi.

Mengenai calon-calon AMANAH Abang Halil menjelaskan, setakat ini senarai nama belum dimuktamadkan lagi dan hanya akan diumumkan selewat-lewatnya sebelum hari penamaan calon berlangsung nanti.

“Kita sudah pun menerima senarai nama calon dan telah dihantar ke peringkat pimpinan AMANAH Nasional.

“Sekiranya nama tersebut sudah dimuktamadkan nanti, kita akan umumkan dalam masa terdekat atau sebelum hari penamaan calon kelak,” tambahnya.