Malaysia Dateline

AMANAH sahkan ADUN Meru sertai PKR

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar telah keluar parti untuk menyertai PKR.

Perkara tersebut diberitahu Setiausaha AMANAH Selangor, Kamarul Hisham Yeop Hashim, sehari selepas sehari desas desus Adun tersebut sudah menyertai PKR.

“AMANAH Negeri Selangor ingin memaklumkan bahawa Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, Adun Meru telah keluar dari AMANAH untuk menyertai PKR.

“Oleh itu, semua jawatan parti yang disandang oleh beliau terbatal serta merta.

“AMANAH Negeri Selangor mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beliau selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Fakhrulrazi didakwa menyertai PKR dengan mendaftar di bawah Cabang Petaling Jaya.

Satu tangkap layar status permohonan keanggotaan PKR yang diterima Malaysia Dateline memaparkan kelulusan untuk Fakhrulrazi menyertai parti itu disahkan dengan nombor keahlian B14000008851.

Bagaimanapun, bekas Naib Ketua Pemuda AMANAH itu pada semalam dilapor tidak memberi sebarang ulasan berhubung penyertaan itu walaupun dikatakan telah berbuat demikian pada September lalu.