Malaysia Dateline

AMANAH sahkan bertanding di sembilan DUN PRN12 Sarawak

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak mengesahkan akan meletakkan sembilan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dalam masa terdekat ini.

Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili berkata, sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi itu ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

Katanya, kerusi tersebut merupakan kawasan yang pernah ditandingi pada PRN11 pada 2016 yang mana ia adalah kali pertama AMANAH meletakkan calon di negeri ini.

“In shaa Allah.. hari ini saya mengesahkan bahawa untuk PRN12 Sarawak nanti, kita akan menurunkan sembilan calon yang berpotensi di kerusi DUN yang pernah ditandingi pada PRN11 lalu.

“Untuk itu, senarai calon hanya diumumkan sebaik DUN dibubarkan kelak sekali gus menolak desas-desus yang menyatakan bahawa AMANAH Sarawak hanya bertanding di empat kerusi sahaja,” tegas beliau.

Abang Abdul Halil berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen AMANAH Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.

Menurut beliau lagi, sebenarnya gerak kerja dan jentera di setiap kawasan sudah diaktifkan sebelum ini tetapi lebih tertumpu kepada program kebajikan dan kemasyarakatan.

Justeru, ujarnya AMANAH Sarawak akan lebih agresif mengatur gerak kerja sebaik DUN dibubarkan yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Saya berharap semua Ahli Jawatankuasa Negeri, Kawasan dan Cawangan dapat bekerjasama dalam melaksanakan gerak kerja apabila turun membantu calon-calon yang akan diturunkan kelak.

” Malah, bersama – sama kita berdoa agar calon-calon yang diletakkan nanti berupaya memberi kemenangan kepada AMANAH Sarawak sekali gus bekerja demi untuk rakyat di negeri nanti,” tambahnya.

Turut hadir pada Konvensyen Sarawak Ke-6 ialah Timbalan Pengerusi Hud Andri Zulkarnaen, Setiausaha Fadillah Sabali, Naib Pengerusi 2 Maxwell Rojis serta perwakilan dan pemerhati.

Konvensyen AMANAH Sarawak hari ini telah dirasmikan oleh Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Haji Hasanuddin Mohd Yunus secara maya.