Malaysia Dateline

AMANAH sambut baik kepulangan Bersatu bersama PH

AMANAH menyambut baik tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu kembali bersama Pakatan Harapan (PH).

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, pelbagai krisis dialami negara pada masa ini memerlukan keteguhan gabungan PH serta berdepan dengan Perikatan Nasional (PN).

“Keutuhan gabungan bersama Pakatan Harapan merupakan tunjang dan kekuatan dalam menghadapi segala krisis yang melanda negara dan pada masa yang sama berhadapan kerajaan pintu belakang PN,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pandangan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyifatkan parti itu perlu kembali bersama PH berbanding PN ekoran ketidakstabilan kerjasama politik antara Bersatu, Umno dan Pas.

Mukhriz berkata, kelangsungan Bersatu terjamin dan maruah parti itu dapat dikembalikan jika parti tersebut kembali bersama PH selepas mengalami pengalaman sangat pahit di bawah kerajaan PH tidak sampai dua bulan.

“Ini kerana Ahli Majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dianggotai Bersatu telah digugurkan di beberapa negeri kecuali Kedah.

“Jika Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bersatu bersetuju dengan kenyataan saya ini, sila mengorak langkah dan kembali ke pangkal jalan,” katanya melalui kenyataan dalam laman sosial Facebooknya, 3 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, PH dipercayai sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung tinggi prinsip integriti serta tajdid, yang diperjuangkan selama ini.

“Walau bagaimanapun, AMANAH berpandangan perkara tersebut wajar dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden,” kata Mohamad lagi.

Presiden Bersatu, Muhyiddin membuat keputusan meninggalkan PH pada 24 Februari lalu tetapi ditolak kumpulan Mahathir.

Bersatu kemudiannya bersama dengan Umno, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA dan MIC membentuk kerajaan PN bagi mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada PH.

Tempias pergolakan PH dan Bersatu di peringkat Pusat itu kemudiannya menjadi cabaran besar buat kerajaan negeri seperti di Kedah untuk mengekalkan kepimpinan Mukhriz seperti sedia ada.

Difahamkan, kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah dengan 19 Adun PH dikatakan goyah selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan.

Di negeri yang mempunyai keseluruhan 36 kerusi itu, Pas ada 15 kerusi manakala Umno mempunyai dua kerusi.