Malaysia Dateline

AMANAH sambut baik pertemuan Mahathir-Anwar, namun minta hormati pilihan PM Pakatan Harapan

AMANAH menyambut baik kesediaan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu.

Namun Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegaskan, parti-parti dalam Pakatan Harapan telah bersetuju Anwar adalah calon perdana menteri pilihan mereka.

“Dalam mewujudkan kerjasama, kami harap perkara ini sentiasa diperakui dan dihormati,” kata Khalid dalam kenyataannya hari ini mengulas kesediaan Anwar untuk bertemu Mahathir.

Mahathir dalam kenyataan melalui videonya semalam sekali lagi menghulurkan tangan perdamaian kepada Anwar, kira-kira sebulan menjelang pilihan raya umum pada 19 November.

Dalam video yang dikeluarkan hari ini, bekas perdana menteri dua kali itu berkata dia sedia bertemu dengan Anwar dan bersedia mengorak langkah ke arah itu.

Tidak kisah dianggap menjilat ludah, Mahathir berkata dia sedia melakukan perkara itu bagi menyelamatkan Malaysia, seperti yang dirintisnya pada 2018 untuk menjatuhkan Najib Razak.

Bagi Khalid, kerjasama semua pihak perlu untuk menyekat Umno/BN bangkit semula yang menyebabkan negara kembali ke belakang.

Bagi Khalid, parti-parti pembangkang perlu bekerjasama dalam pilihan raya ini untuk menentang Barisan Nasional (BN) bagi menyekat kemungkaran dan kemusnahan negara yang disebabkan oleh parti itu.

“Kesedian untuk dua pihak ini bertemu menunjukkan mereka lebih mengutamakan kepentingan negara dari perasaan atau kecenderungan masing-masing. Sikap mengutamakan kepentingan negara perlu disanjung dan dicontohi semua,” katanya.

PRU ini merupakan satu PRU yang sangat penting untuk menghalang kembalinya Umno/BN ke tampuk kekuasaan. Oleh itu usaha kerjasama untuk elak berlakunya pecah undi adalah penting, katanya.