Malaysia Dateline

AMANAH sambut Hari Wanita Sedunia

Untuk menghargai semangat dan ketabahan pegawai wanita yang banyak membantu kelancaran pentadbiran Sekretariat Nasional, pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) mengadakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Wisma Amanah Negara di ibu negara.

Sambutan secara sederhana pagi tadi menyaksikan majlis penyerahan bunga mawar oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada semua pegawai wanita sebagai tanda penghargaan dan berterima kasih atas sumbangan kepada pembangunan parti selama ini.

Turut hadir, Naib-Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al-Jundi; Ketua Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional, Nurthaqaffah Nordin; Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin; Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli serta pimpinan AMANAH yang lain.

Dalam ucapan ringkas, Mohamad berharap supaya sumbangan wanita terus diberikan perhatian dalam usaha untuk memajukan diri, keluarga dan masyarakat.

“Peranan wanita sekarang semakin penting. Susah mana-mana negara nak maju kalau wanita dipinggirkan,” katanya.

Hari Wanita Antarabangsa disambut setiap tahun pada 8 Mac bagi menghargai pencapaian golongan ini dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan dan politik.

Tahun ini, tema sambutan Choose to Challenge (Pilih untuk Mencabar) diguna sebagai gesaan penyelesaian kepada masalah kesenjangan gender dan meraikan pencapaian golongan wanita.

Salahuddin menyerahkan bunga mawar dan kad kepada Ketua WARDA Nasional, Nurthaqaffah Nordin.