Malaysia Dateline

AMANAH sampaikan baucar zakat bantuan persekolahan golongan asnaf

Menyedari keperluan yang harus dilaksanakan sebagai parti yang mendokong amanah serta tanggungjawab sebagai pemerintah, AMANAH dan AWAN Kawasan Batu Kawan mengambil pendekatan segera dengan menyampaikan sumbangan baucar zakat Pulau Pinang kepada 60 anak golongan asnaf sebagai bantuan persekolahan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua kawasan Batu Kawan, Yusof Hashim.

Menurut beliau lagi, baucar tersebut berjumlah RM150 merupakan bantuan kelengkapan persekolahan bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dan juga golongan asnaf.

Manakala Ketua AWAN Batu Kawan, Shariah Kulub Husin pula berkata, bantuan tersebut merangkumi pelajar sekolah rendah dan juga menengah sekitar kawasan Parlimen Batu Kawan.

Malah katanya lagi, melalui program sedemikian, ia dapat mengurangkan beban awal persekolahan yang sering menjadi masalah besar kepada majoriti keluarga berpendapatan rendah.

“AMANAH dan AWAN Batu Kawan sering bekerjasama bagi mengadakan pelbagai program turun padang.

“Begitu juga pada tahun hadapan golongan asnaf dan ibu tunggal akan turut diberi peluang untuk menyertai Program Pembangunan Insan yang turut menyediakan beberapa perancangan meningkatkan ekonomi secara kecil-kecilan.

“Selain itu, Program dibawah Komuniti Desa juga akan membuka ruang yang lebih besar bagi memberi pelbagai pendedahan dan peluang bagi menambah sumber pendapatan melalui pelbagai produk kampung dan tradisional, ” ujar beliau lagi.

Tegasnya, perancangan lain yang juga akan diberi perhatian merangkumi golongan warga emas, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan seumpamanya.

Yang pasti ujarnya, nasib semua golongan tersebut akan diberi pembelaan tanpa meminggirkan mana-mana individu.