Malaysia Dateline

AMANAH sangat penting kepada gabungan pembangkang

Sebanyak 62 peratus daripada 204 pendengar stesen radio BFM 89.9 menyifatkan AMANAH sangat penting dan agak penting kepada gabungan pembangkang.

Undian tertinggi sehingga dua jam lalu tersebut mendapati 37.7 peratus responden menganggap AMANAH “sangat penting” diikuti 24.5 peratus memilih “agak penting”.

Reaksi tersebut sebagai menjawab soalan berbahasa Inggeris bermaksud, “Seberapa penting AMANAH kepada gabungan pembangkang?”

Dalam tempoh sama juga, 23 peratus daripada responden dalam tinjauan menerusi Twitter saluran radio berkonsepkan urban itu mengundi “tidak penting” manakala 14.7 peratus lagi “tidak pasti”.

Rata-rata komentar kepada soalan itu juga menyatakan AMANAH penting dalam Pakatan Harapan (PH) yang menyatukan parti pembangkang.

Pengguna Twitter, Aiman Abdullah berpendapat AMANAH tidak relevan sebagai parti yang berdiri sendiri sebaliknya memainkan peranan penting untuk meraih undi bagi blok pembangkang.

“AMANAH penting bagi pengundi yang tidak puas hati dengan Pas tetapi mungkin masih mempercayai nilai-nilai intinya yang konservatif.

“Ia (AMANAH) bertindak sebagai penyeimbang ke arah sekularisme PKR / DAP,” katanya.

Sementara itu, pemilik akaun Twitter atas nama dperantauan menyifatkan AMANAH sangat penting sebagai penyatu parti pembangkang.

“Mereka (AMANAH) telah menunjukkan kualiti dan kemampuan mereka pada fasa awal PH iaitu semasa perundingan kerusi.

“AMANAH terus menunjukkan hati mereka yang besar dalam memastikan Malaysia mempunyai kerajaan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Tidak kurang juga yang berpendapat AMANAH relevan kepada blok pembangkang kerana komited untuk melakukan pembaharuan berbanding parti dan gabungan sekutunya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

BFM adalah stesen radio yang dapat didengar pada frekuensi 89.9 MHz di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, dan sebahagian Negeri Sembilan dan Melaka.