AMANAH saran hentikan amalan kontrak kepada satu syarikat

Beri peluang kepada semua pihak bukan monopoli.

AMANAH mencadangkan agar kerajaan negeri menghentikan amalan memberikan kontrak kerja pembangunan dan penyelenggaraan kepada satu syarikat sahaja.

Sehubungan itu, Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Haji Khairuddin A Rahim menyarankan agar Kerajaan Negeri Johor menghentikan amalam pemberian konsesi kepada syarikat Amona Group of Companies (Amona) di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

Adun Senggarang itu juga berkata, konsesi tersebut telah diberi oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Kami mendapat laporan berkenaan dengan konsesi projek pembangunan infrastruktur dari JKR di negeri yang dikuasai oleh syarikat Amona.

“Ini membabitkan soal pengagihan kerja yang tidak menyeluruh tanpa memberi peluang kepada syarikat-syarikat kecil untuk mendapat peluang melakukan projek di bawah JKR negeri atau daerah.

“Projek-projek seperti penyelenggaraan jalan-jalan negeri dan desa di seluruh Johor yang mana ia merupakan projek atau tender di bawah JKR sebelum ini telah dimonopoli oleh satu pihak sahaja,” ujar beliau ketika dihubungi.

Selain itu juga, Khairuddin menekankan berkenaan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan tender secara terbuka dan apa yang berlangsung sebelum ini adalah bertentangan dengan manifesto berkenaan.

Beliau turut menyarankan agar kontrak syarikat Amona tidak disambung untuk memberi peluang kepada syarikat kecil yang lain untuk mencuba nasib pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri disarankan untuk tidak menyambung kontrak syarikat Amona yang akan tamat pada 30 Ogos 2018 kerana dengan adanya konsesi ini ramai kontraktor kecil di seluruh negeri Johor menunggu untuk menggulung tikar.

“Perkara ini serius kerana ia melibatkan kos yang tinggi oleh pihak kerajaan. Kami mahu jadikan semula JKR sebagai jabatan yang mampu memacu pembangunan infrastruktur yang lebih berkualiti selain menambah peluang perkerjaan kepada generasi yang berkelayakkan,” kata Khairuddin.

Sebelum ini Persatuan Kontraktor kecil Batu Pahat dan seluruh kontraktor kecil negeri Johor telah menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar (MB) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin namun ianya tidak dipedulikan oleh MB sebelum ini.

 

*Gambar 1 – YB Haji Khairuddin A Rahim

*Gambar 2 – Amona Group Of Companies

CATEGORIES
TAGS