Malaysia Dateline

AMANAH saran PKP 2.0 dikuatkuasa di Sarawak

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak menyarankan agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sepenuhnya seperti pertama kali dilakukan pada tahun lepas dikuatkuasakan segera di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, ini adalah mengambil kira isyarat yang telah ditunjukkan betapa keadaan sebenar jangkitan Covid 19 di Sarawak berada pada tahap sangat genting selepas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan katil di wad kecemasan (ICU) telah diguna sepenuhnya.

Malah, katanya kes jangkitan harian sepanjang Mei ini tidak pernah kurang daripada 300 kes dan jumlah keseluruhan setakat 18 Mei (semalam) sahaja telah mencecah 8, 597 kes.

“Sehingga 18 Mei, jumlah kluster aktif adalah sebanyak 84, Dan tidak dinafikan sebahagian kluster terbabit telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

” Selain itu, wujudnya kebimbangan varian yang berbahaya yang berasal dari Britain, Afrika dan India yang dikhuatiri terlepas masuk ke negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Hud Andri menegaskan, AMANAH sangat memahami tekanan yang telah dialami oleh rakyat Sarawak terutamanya yang bergantung pendapatan harian yang terjejas apabila PKP sepenuhnya dikuatkuasakan.

Justeru, AMANAH juga sangat mengambil berat tekanan anggota barisan hadapan kesihatan dan keselamatan yang kini telah berada di tahap yang genting ketika ini.

“Sebelum ini Majlis Keselamatan Negara (MKN), telah dua kali mengumumkan PKP untuk dikuatkuasakan di Sarawak, tetapi kerajaan negeri tidak mengambil langkah tersebut.

” Ini ditambah lagi program vaksinisasi yang dilihat agak perlahan dan amat merisaukan jika pergerakan penduduk masih agak bebas tanpa ada pelindungan vaksin,” tegas beliau lagi.