Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak adakan jerayawara di 13 DUN ditandingi

Parti AMANAH  Negeri Sarawak akan mengadakan Program Jerayawara ke-13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula minggu depan.

Pengerusinya, Abang Halil Abang Naili berkata, program tersebut sebenarnya sudah lama dirancangkan tetapi berikutan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih dilaksanakan, pihaknya terpaksa menunda tarikh yang telah ditetapkan.

Katanya, objektif program ialah untuk memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa selain memberi taklimat kepada jentera parti.

“In shaa Allah…kita akan mengadakan Program Jerayawara di setiap 13 DUN yang bakal ditandingi nanti bagi memberi taklimat dan penerangan kepada ahli dan jentera parti.

“Sebenarnya program ini telah pun diadakan secara kecil-kecilan sebelum ini memandangkan kita masih lagi dalam PKPP,” ujarnya.

Abang Halil berkata demikian ketika ditemui pada Majlis ‘ Let’s Talk Together’ di Pejabat AMANAH di Kuching malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi dan Setiausaha AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen dan Fadillah Sabali serta wakil-wakil penghubung 13 DUN yang berdekatan.

Selain semua yang hadir diberi peluang untuk meluahkan pendapat dan pandangan, turut diadakan ialah Solat Maghrib berjemaah dan usrah.

Menurut Abang Halil, semua bilik gerakan di setiap DUN akan diaktifkan dalam masa terdekat ini, tetapi tetap mengikut Standard Operasi Prosuder (SOP) PKPP yang telah ditetapkan.

“Dalam keadaan ini, kita harus berhati-hati dan segala program dan aktiviti terpaksa dilangsungkan dalam kapasiti yang kecil.

“Walaupun berskala kecil tetapi saya tetap yakin ia akan mampu mengukuhkan ahli-ahli parti terutamanya dalam persiapan menghadapi PRN12 nanti,” jelas beliau.

Sebagai rekod, AMANAH Sarawak bakal bertanding di 13 kerusi DUN pada PRN12 akan datang.

Kerusi tersebut ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kabong, Semop, Kuala Rajang, Daro, Jemoreng dan Balingian.