Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak akan perhebat sesi penerangan

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak akan mengadakan sesi penerangan kepada ahli-ahli di 13 Dewan Undangan Negeri (Dun) bermula tahun hadapan.

Pengerusi Biro Penerangan AMANAH Sarawak, Mohtada Jol berkata, sesi penerangan tersebut meliputi peranan jawatankuasa pimpinan di peringkat kawasan dan cawangan.

Katanya, melalui sesi itu, pihaknya turut akan mengumpul isu-isu yang akan dibangkitkan ahli-ahli di samping dapat menyampaikan hal-hal berkaitan parti.

“In shaa Allah…kita di Biro Penerangan akan sentiasa memainkan peranan bagi mendekati ahli-ahli di setiap Dun nanti.

“Dengan demikian kita akan mengetahui isu-isu yang dibangkit di setiap kawasan dan cawangan dan seterusnya sedaya-upaya menyelesaikannya secara bersama,” jelas beliau ketika ditemui di Pejabat AMANAH Sarawak hari ini.

Tambah Mohtada, Biro Penerangan adalah antara biro yang diletakkan dalam Kluster Komunikasi yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen.

Beliau berkata, satu lagi biro yang bersama dalam Kluster Komunikasi ialah Biro Pertanian yang diterajui Haji Mohamad Nor.

“Kami telahpun mengadakan mesyuarat pertama yang dihadiri jawatankuasa yang dilantik untuk memulakan gerak kerja secepat mungkin bermula seawal Januari 2020 nanti.

“Ini kerana, kami hendak menyusun jentera di peringkat Dun, Kawasan dan Cawangan sekali gus berkerjasama dengan Biro Pilihan Raya (BPR) nanti,” ujarnya.

Di samping itu katanya, Biro Penerangan juga akan berkerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan bagi menganjurkan program dan aktiviti.

Jelas beliau lagi, ini adalah bertujuan supaya penduduk dan masyarakat di negeri mendapat maklumat berkaitan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.

“Saya yakin dengan bantuan pimpinan AMANAH Sarawak dan Nasional, program dan aktiviti yang bakal diadakan nanti mendapat sasaran dan mampu mengukuhkan kekuatan parti pada PRN12 akan datang,” tegas beliau.