Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak anggap GPS bersekongkol dengan PN, derhaka kepada Agong

AMANAH Sarawak menggesa supaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertindak segera menarik sokongan daripada Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Perikatan Nasional bagi mengelak terpalit sama dalam isu mengingkari Perintah Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana kata Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali, tindakan GPS yang bersekongkol dengan Perikatan Nasional (PN) dilihat seolah-olah telah menderhakai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, tindakan Kerajaan PN yang membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu yang dibuat tanpa perkenan Agong adalah sangat memalukan.

“Menerusi kenyataan media Istana Negara kelmarin membuktikan segala yang dinyatakan oleh Kerajaan PN berkaitan pembatalan Ordinan Darurat adalah ‘sembang’ semata-mata.

“Maka dengan itu, ia telah menunjukkan Kerajaan PN dengan secara jelas melanggar Perlembagaan Negara atau menidakkan Titah Tuanku Agong,” ujarnya.

Fadillah menegaskan, GPS seharusnya sedar dengan taktik licik Kerajaan PN dan ini sangat memalukan seluruh rakyat Sarawak di negeri ini.

Kelmarin, Seri Paduka Baginda dalam satu kenyataan media menzahirkan rasa sangat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat memandangkan ia belum diperkenankan baginda.

Seri Paduka Baginda turut menekankan permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai itu telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.

Seri Paduka Baginda memberitahu, keadaan ini bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, tetapi secara terang telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.