Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak bantu pelajar masuk ke sekolah kembali

Ketika rakyat menghadapi pelbagai masalah ekonomi ekoran Covid-19 dan darurat, mereka sangat berharap kepada bantuan dan inilah yang dilakukan oleh mereka yang prihatin dengan nasih mereka.

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak telah menyampaikan sumbangan bagi membeli pakaian dan peralatan sekolah kepada seramai 300 terpilih di negeri ini, semalam.

Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen berkata, sumbangan tersebut merupakan Program “Back To School” yang diadakan setiap tahun bagi meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menyediakan pakaian dan peralatan sekolah anak-anak mereka.

Katanya, sumbangan itu telah digerakkan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Peduli Rakyat Kuching serta NGO berdaftar lain di Sarawak.

“Alhamdulilah…kita telah pun menyampaikan sumbangan kepada 300 penerima terdiri daripada golongan asnaf bagi membantu menyediakan pakaian dan peralatan sekolah anak-anak mereka.

“Walaupun sebilangan besar sekolah masih ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi kita tetap mengambil pendekatan untuk menyampaikan sumbangan ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penerima di Pejabat AMANAH di Kuching, semalam.

Hud Andri yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Peduli Rakyat Kuching berkata, untuk kali ini sunbangan yang diberikan adalah dalam bentuk wang tunai yang diserahkan kepada ibu bapa penerima.

Ini kerana, jelas beliau ia adalah mudah untuk ibu bapa membeli pakaian mengikut saiz badan anak-anak mereka sendiri berbanding sumbangan yang diberikan sebelum ini yang berbentuk barangan.

“Sebelum ini, kita telah menyampaikan bantuan berupa barangan namun ada penerima yang tidak dapat memakai baju dan kasut yang diberikan itu kerana saiz yang tidak menepati.

“Justeru, untuk kali ini kita mengubah konsep bantuan ini dengan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada ibu bapa penerima bagi memudahkan mereka membeli sendiri kelengkapan sekolah anak-anak mereka,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Pengerusi Yayasan Taqwa Majlis Islam Wilayah Persekutuan, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang berusaha untuk mendapatkan dana bagi program kali ini.