Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak berhati-hati pilih calon, tidak mahu jadi ‘katak’

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati memilih calon yang bakal membawa cabaran parti itu pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Ke-12 Sarawak nanti.

Menurut Setiausahanya, Fadillah Sabali, ia adalah bagi menggelak berlaku insiden calon berkenaan tiba-tiba ‘melompat’ sebelum penamaan calon dan selepas pada hari pengundian.

Katanya, tiada yang mustahil sekiranya seseorang calon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu melompat ke parti lain seperti yang berlaku pada ‘Langkah Shereton’ Mac lalu dan yang terbaru di Sabah.

“Kita akui bahawa pemilihan calon yang akan mewakili AMANAH pada PRN12 Sarawak kali ini amat ketat dan teliti.

“Hanya bakal calon yang benar-benar bersih dan berpotensi layak mewakili AMANAH.

“Ini kerana, kita tidak mahu seseorang calon ini mudah dibeli atau menjadi ‘katak’ apabila ditawarkan sesuatu oleh pihak parti lawan sekali gus mengenepikan hak rakyat yang memilihnya kelak.

“Menang atau kalah adalah perkara biasa dalam pertandingan, tetapi yang paling penting adalah menjaga maruah diri dan parti,” tegas beliau.

Fadillah berkata demikian ketika ditanya senarai nama calon AMANAH Sarawak yang bakal ditampilkan pada PRN12 dalam masa terdekat ini.

Beliau menambah, untuk menghadapi PRN12 kali ini, AMANAH Sarawak bakal mengetengahkan calon muka baharu dan muda di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi calon-calon baharu dan muda itu ujarnya, senarai nama telah diteliti di peringkat pimpinan negeri dan seterusnya akan dibawa ke mesyuarat tertinggi AMANAH Nasional nanti.

Beliau turut menyatakan seseorang calon yang bakal diletakkan kelak tidak semestinya adalah anak tempatan namun yang penting ialah calon berkenaan berupaya memberi khidmat kepada masyarakat setempat.

Malah, katanya lagi calon tersebut juga merupakan seorang ahli parti yang setia dan telah bersama-sama mengharungi perjuangan AMANAH sehingga kini.

“In shaa Allah…kita akan umumkan senarai calon-calon ini nanti sebaik mendapat kelulusan daripada pimpinan pusat.

“Apa pun, saya tetap yakin calon-calon yang ditampilkan kelak akan mampu menandingi calon daripada parti lain sekali gus mencipta sejarah untuk AMANAH menang di beberapa kerusi ditandingi,” tegas Fadillah.