Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak bersedia jika PRN serentak dengan PRU

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak tetap bersedia sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-15 dan PRN Sarawak Ke-12 diadakan serentak.

Setiausahanya Fadillah Sabali berkata, AMANAH Sarawak telah pun membuat persediaan rapi sebelum ini sejak diuar-uarkan bahawa PRN12 akan diadakan dalam masa terdekat di negeri ini.

Katanya, setakat ini isu yang berkaitan kerusi dan calon telah semuanya hampir dimuktamadkan.

FADILLAH SUBALI

“In shaa Allah… kita tetap berdepan dengan PRN 12 sama ada serentak dengan PRU dan PRN Sabah sekali dan persediaan sentiasa dalam peringkat yang tinggi.

“Ini adalah berdasarkan ketidaktentuan situasi politik yang tidak stabil di kalangan parti-parti di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedia ada,” ujarnya.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman pro Umno, Mykmu.net yang mendakwa Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat ini.

Menurut laman berkenaan, PM akan mengadap YDP Agong dalam masa terdekat bagi memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Parlimen.

KMU atau Kelab Maya Umno membuat dakwaan itu melalui berita yang dilaporkan oleh SuaraTV, satu lagi laman milik Umno.

Kali terakhir PRN Sarawak ialah pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah pada Julai 2021.

Manakala, Dewan Undangan Negeri Sabah juga telah dibubarkan baru-baru ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari selepas dibubarkan.

Pada masa sama, Fadillah memberitahu pihaknya hanya mengadakan program turun padang berskala kecil memandangkan masih lagi dalam suasana pandemik COVID-19 ketika ini.

“Walapun berskala kecil tetapi sambutan tetap menggalakan mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tegasnya.