Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak buat laporan polis kenyataan ‘binatang politik’ kerana sokong titah Agong

AMANAH Negeri Sarawak hari ini membuat laporan polis berikutan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi  Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman yang menyifatkan pihak yang mendesak agar Parlimen dibuka sebagai ‘binatang politik’.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen, laporan tersebut telah dibuat di Balai Polis Gita di Kuching dan turut disertai Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali serta pimpinan lain.

Katanya, kenyataan yang dibuat Muhammad Faiz yang menggelar pelbagai pihak untuk membuka Sidang Parlimen sebagai ‘binatang politik’ adalah tidak bertanggungjawab.

“Sebagai seorang pemimpin, Muhammad Faiz seharusnya menunjukkan adab apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian atau cuba hendak mengalihkan perhatian gara-gara desakan daripada rakyat untuk membuka Sidang Parlimen.

“Malah, dia juga dilihat mempertikaikan titah Yang Dipertuan Agong supaya Sidang Parlimen dibuka dengan secepat mungkin,” tegas Hud Andri.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis segera menyiasat kenyataan yang dikeluarkan itu secepat mungkin kerana  jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan Bahagian IV Persekutuan Bab 2 Majlis Raja-Raja Perkara 38 yang mana Muhammad Faiz boleh dicaj di bawah Seksyen 233 (1)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Adalah diharapkan agar pihak polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan berkaitan kes ini secepat mungkin dan tiada ‘double standard’ nanti,” tegasnya.