Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak desak SPRM siasat penyelewengan NAFAS

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak mendesak agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berkaitan kes penyelewangan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Sarawak.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen (gambar atas) berkata, ini merujuk kenyataan Pengerusi Ahli Jemaah NAFAS Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi pada 21 Februari 2020 lepas.

Katanya, pada kenyataan tersebut, Datuk Ir Phahrolrazi telah mendedahkan penemuan Audit Forensik Antarabangsa ke atas NAFAS baru-baru ini yang antara lain terdapat dua salah laku yang berlaku di Sarawak.

“Antara salah laku yang didedahkan ialah pembelian ladang Sawit di Sungai Karap, Miri yang didakwa dibeli dengan harga yang tinggi daripada pasaran. Harga belian ialah RM135 juta manakala harga nilaian sebenar berjumlah RM122. 8 juta.

“Begitu juga dengan salah laku pembayaran zakat perniagaan kepada penerima tidak layak yang didakwa diberikan kepada Persatuan Peladang Negeri (PPN) Sarawak sebanyak RM100, 000,” ujarnya ketika ditemui di Kuching hari ini.

Hud Andri berkata, laporan audit forensik yang dilakukan ke atas akaun milik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mendedahkan juga pertubuhan itu menanggung keseluruhan kerugian kira-kira RM50 juta akibat penyelewengan pengurusan kewangan dan tadbir urus.

Tegasnya, NAFAS dianggotai 921, 932 ahli dengan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan lebih 7000 unit peladang di seluruh negara.

“Manakala di Sarawak mempunyai 28 Pertubuhan Peladang kawasan (PPK) yang beroperasi.

“Justeru, saya amat kecewa dengan pendedahan salah laku yang didakwa di Sarawak dan saya mendesak kepada kepimpinan serta pengurusan tertinggi NAFAS agar mengambil tindakan tegas ke atas Ahli Jemaah Pengarah NAFAS yang melakukan penyelewengan dengan menyaman mereka serta melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan siasatan yang telah dibuat.

“Malah, saya menyarankan mana-mana individu yang terlibat dengan penyelewengan ini agar menarik diri dari dicalonkan untuk bertanding dalam MAT nanti. Saya merasakan individu yang terlibat itu sudah tidak layak lagi memimpin mahupun dipilih dalam MAT akan datang,” jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi Biro Pertanian dan Luar Bandar AMANAH Negeri Sarawak.