Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak fokus program kebajikan

Parti AMANAH Negeri Sarawak akan memberi fokus kepada program dan aktiviti kebajikan terutamanya kepada golongan asnaf di negeri ini.

Setiausahanya, Fadilah Sabali berkata, antara aktiviti yang diadakan pada program kebajikan itu ialah menyampaikan sumbangan berupa makanan asas di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilawati.

Katanya, selain golongan orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik dan warga emas turut menerima sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini adalah bersempena dengan Program Jerayawara di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)yang telah diadakan sejak pertengahan Ogos lalu.

“Setakat ini, Program Jerayawara telah diadakan di Demak Laut, Gedong, Sebuyau, Kabong, Jemoreng, Daro dan Semop,” ujarnya.

Fadilah berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal, warga emas dan pesakit kronik di Kampung Betanak dan Penipah di Pulau Bruit dalam DUN Semop hari ini.

Persatuan IDAM yang turut menjayakan program kebajikan di DUN Semop.

Beliau menjelaskan, walaupun aktiviti berkenaan dilaksanakan dalam berskala kecil tetapi sambutan yang diterima penduduk setempat amat menggalakkan.

Rata-rata penerima, ujanya melahirkan rasa bersyukur di atas sumbangan tersebut kerana sebelum ini tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana agensi atau kerajaan.

“Alhamdulilah…kita telah pun dapat menyampaikan sumbangan ini kepada mereka yang benar-benar layak.

“Ini kerana saya telah diberitahu terdapat golongan ini tidak menerima sebarang bantuan sebelum ini sedangkan nama sudah diambil oleh pemimpin peringkat kampung,” tegasnya lagi.

Turut terlibat menjayakan program di DUN Semop hari ini ialah Persatuan Insan Istimewa Daro Matu (IDAM).