Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak gesa bayaran BKSS 6.0 dipercepat

Parti AMANAH Negara (AMANAH) Sarawak menggesa agar kerajaan negeri Sarawak mempercepatkan bayaran Bantuan Khas Sarawakku Sayang BKSS 6.0 selewat-lewatnya hujung Jun ini.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, rakyat khususnya golongan B40 dan berpendapatan sendiri pada masa ini amat memerlukan bantuan segera ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, katanya beliau tetap memuji langkah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan insentif bantuan BKSS 6.0 pada 29 Mei lalu.

Menurutnya, pengumuman oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu amat dinantikan oleh seluruh rakyat Sarawak.

“Saya menyokong insentif tersebut dan yakin rakyat Sarawak juga menyokong bantuan ini asalkan dapat kepada rakyat tanpa seorang pun yang tercicir.

“Hanya yang menjadi persoalan saya ialah kenapa pembayaran BKSS 6.0 kepada rakyat ini akan dilakukan dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

“Contohnya, pembayaran untuk Ketua Isi Rumah (KIR) B40 akan dibayar pada 31 Julai depan manakala individu bujang pula bayaran akan mula dibuat pada 31 Ogos nanti,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hud Andri berpendapat tempoh untuk rakyat menerima bantuan yang sangat lama itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau menegaskan tiada alasan bagi sebuah kerajaan memerintah yang mahu membantu rakyat hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

Apatah lagi, jelasnya, dengan kekuatan dana yang melimpah ruah, kerajaan negeri sebenarnya mampu berdiri sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan Persekutuan seperti yang dicanangkan pihak pemimpin GPS sebelum ini.

“Maka persoalannya, kenapa pembayaran BKSS 6.0 ini akan mula dibayar pada Julai dan Ogos 2021? Kenapa tidak dibayar serta-merta atau dalam tempoh seminggu setelah pengumuman?” tegasnya lagi.

Baru-baru ini, Abang Johari mengumumkan insentif BKSS 6.0 berjumlah RM1.4 billion bagi membantu rakyat yang terjejas akibat PKP 2.0 di negeri ini bermula 29 Mei lalu dan kini diteruskan sehingga 14 Jun.

Antara bantuan yang diberikan di bawah BKSS 6.0 termasuklah bantuan tunai bagi isi rumah B40, elaun enam bulan kepada petugas barisan hadapan, bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja, pemandu e-hailing serta pemain industri pelancongan.

Bantuan lain ialah diskaun bil air dan elektrik, kadar cukai taksiran dan sewa bagi penerima yang layak.