Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak gesa kerajaan beri perhatian bantuan untuk rakyat

AMANAH Sarawak menggesa agar kerajaan negeri terus menghulurkan bantuan kepada rakyat demi kelangsungan kehidupan mereka.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, berikutan garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semakin ketat dilaksanakan, kehidupan rakyat marhaen mencari rezeki terutamanya yang bekerja sendiri adalah sangat memeritkan.

Justeru, tegas beliau kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bersama Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya seharusnya berterusan memberi bantuan yang sewajarnya kepada seluruh rakyat di negeri ini khususnya kepada golongan yang berpendapatan sendiri.

“Ramai rakyat telah terjejas khususnya peniaga kecil dan besar malah mereka yang telah diberhentikan kerja.

“Begitu juga dengan petugas barisan hadapan yang tertungkus lumus berkerja siang dan malam memberi khidmat terbaik kepada para pesakit,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat AMANAH di Kuching.

Mengulas Program Imunisasi Kebangsaan, Hud Andri menyarankan supaya kerajaan negeri lebih cekap dan efisen dalam melaksanakan pemberian vaksin secepat mungkin kepada rakyat di negeri ini.

“Bayangkan ramai lagi rakyat yang belum menerima dos vaksin walaupun kerajaan sudah memaklumkan akan melaksanakan suntikan sejak awal Mei lalu.

“Ini kerana, kita sangat bimbang dengan situasi pandemik Covid-19 di Sarawak begitu cepat naik mendadak sejak kebelakangan ini sehingga katil di wad kecemasan di hospital seluruh negeri ini tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang semakin ramai,” kata beliau.