Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak hantar wakil bantu masyarakat yang memerlukan

Walaupun masih belum dapat mengadakan sebarang aktiviti, namun AMANAH Sarawak tetap menghantar wakil bagi menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada masyarakat di seluruh kawasan.

Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali berkata, memandangkan pelaksanaan rentas daerah belum dibenarkan, pihaknya telah menghantar wakil khususnya jentera di kawasan bagi menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada penduduk setempat.

Katanya, setakat ini AMANAH Sarawak sentiasa menghulurkan sumbangan berupa makanan asas kepada golongan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3.0 atau Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih dikuatkuasakan.

“Alhamdulilah… aktiviti bantuan dan sumbangan tetap dilaksanakan walaupun pimpinan AMANAH negeri tidak dapat bersama turun padang.

“Kita telah menghantar wakil dan Ketua Penghubung di setiap kawasan di seluruh negeri bagi menjayakan program menghantar bantuan berupa barangan makanan asas kepada golongan terjejas,” jelas beliau.

Fadillah menjelaskan, program yang dijalankan itu adalah berterusan lebih-lebih lagi dalam situasi kehidupan rakyat yang semakin banyak kehilangan sumber pendapatan.

Ujarnya lagi, rata-rata penerima adalah daripada golongan yang bekerja sendiri atau pekerja kontrak di sektor pembinaan yang masih ditutup.

“In shaa Allah… dengan bantuan yang disampaikan itu, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada golongan yang sangat memerlukan.

“Dan sebagai rakyat, kita tetap mengikut dan mematuhi apa jua garis panduan atau standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan walaupun terdapat sebilangan golongan ‘kayangan’ yang mudah bergerak ke mana-mana tanpa diambil tindakan,” katanya.