Amanah Sarawak jamin bantu PKR berkempen PRK Tanjong Datu

Amanah Sarawak jamin bantu PKR berkempen PRK Tanjong Datu

Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak sedia untuk bekerjasama dengan PKR negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N3 Tanjong Datu pada 18 Februari depan.

Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak sedia untuk bekerjasama dengan PKR negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N3 Tanjong Datu pada 18 Februari depan.

Pengerusinya, Mohamad Fidzuan Zaidi berkata, Amanah menyokong sepenuhnya rakan dalam Pakatan Harapan tersebut dengan mengukuhkan gerak kerja membantu meraih undi sepanjang tempoh 13 hari berkempen itu.

“Amanah Sarawak akan menyokong sesiapa sahaja yang akan diturunkan oleh PKR Sarawak pada PRK Tanjong Datu. Kita akan membantu berkempen secara bersama-sama sebagai satu pakatan pembangkang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Seramai 9,959 pemilih berdaftar bakal membuang undi membabitkan 9,771 pemilih biasa dan 188 pengundi awal yang terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam sidang medianya semalam memberitahu PRK susulan kematian penyandang Dun Tanjong Datu, Tan Sri Adenan Satem, 72, yang juga Ketua Menteri Sarawak pada 11 Januari itu mencecah kos perbelanjaan sebanyak RM997,919.

Seramai 250 petugas akan dilantik bagi memastikan proses pilihan raya kali pertama tahun ini berjalan lancar dengan 18 premis bangunan berfungsi sebagai pusat mengundi meliputi 27 saluran tempat membuang undi.

SPR memutuskan hari penamaan calon pada 4 Februari depan manakala 12 Februari sebagai tarikh pengundian awal.

Untuk rekod, Adenan memperoleh majoriti 5,892 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11), Mei tahun lalu.

Calon PKR itu hilang wang deposit apabila hanya mendapat 468 undi manakala Adenan meraih 6,360 undi.

TAGS