Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak mahu pertahankan hak negeri

 Usaha prosedur bagi memudahkan kemasukan rakyat Sabah ke Sarawak adalah satu usaha yang baik namun hak perkara Di kedua-dua wilayah tersebut haruslah dipelihara dan dipertahankan dengan sebaiknya.Pengerusi Parti AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi berkata, kemasukan warga Sabah atas pelbagai urusan termasuk pekerjaan yang menyumbang sosio ekonomi kepada Sarawak haruslah diberi perhatian dari segi meningkatkan mutu pengendalian dalam urusan di kedua-dua wilayah seperti yang termaktub pada Akta Imigeresen 1956/ 1963.

Katanya, kuasa autonomi imigresen Sarawak dilindungi dalam Artikel 5 menerusi Perjanjian Malaysia 1963.

“Ia terkandung dalam Akta Imigresen Malaysia 1956/1963 yang antara lain menyatakan bahawa seseorang warganegara tidak seharusnya memasuki sesebuah negeri di Malaysia Timur tanpa permit atau pass masuk.

“Dalam perjanjian itu telah menyatakan dengan jelas bahawa kuasa imigresen adalah ditentukan oleh pihak kerajaan negeri,” jelasnya.

Mohamad Fidzuan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang membayangkan akan memberi kebenaran kepada rakyat Sabah memasuki negeri ini tanpa syarat.

Tegas beliau, di dalam seksyen 66 Akta Imigresen telah menjelaskan dengan terang bahawa seseorang warga negara itu tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia Timur iaitu merujuk kepada Sarawak dan Sabah tanpa mempunyai permit atau pass melainkan dia adalah memang dari Malaysia Timur mengikut perenggan kurungan (a).

“Maka dengan demikian, kerajaan negeri mungkin perlu sedikit pengubalan undang-undang atau polisi bagi memudahkan urusan kedua -dua rakyat Sarawak dan Sabah bagi berurusan secara harian,” ujarnya.

Katanya, pada masa akan datang, jaringan lebuh raya dan jalan raya antara Sabah dan Sarawak melalui Pan Borneo akan meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua buah wilayah.

Tegas Mohamad Fidzuan, ini adalah termasuk lebuh raya yang tidak perlu melalui Negara Brunei Darussalam iaitu dengan hanya menerusi Limbang dan Lawas.

“Justeru, mungkin perlunya sedikit penggubalan undang-undang atau polisi bagi memudahkan urusan kedua-dua rakyat di wilayah tersebut untuk berurusan secara harian,” tambahnya.

Sementara itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini menegaskan syarat imigresen kemasukan warga Sabah ke negeri ini kekal.

Kata kenyataan itu, sekira pun wujud cadangan hendak mengecualikan syarat hak imigresen,ia adalah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Sebagai jawapan terhadap soalan pemberita di Kota Kinabalu baru-baru ini, tidak ada mengesyorkan kelonggaran akan dilaksanakan tanpa pertimbangan teliti dan rapi berkaitan keadaan sosial dan geopolitik termasuk masalah pendatang asing.”

Penjelasan Pejabat Ketua Menteri itu menjawab berbagai kritikan dan persoalan susulan laporan berita menyatakan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membayangkan warga Sabah mungkin dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa syarat imigresen.