Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak pergiat program kebajikan sempena Ramadan

Pelbagai program kebajikan akan dilaksanakan oleh Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak bersempena bulan Ramadan kali ini.

Menurut Setiausahanya, Fadillah Sabali, antara program yang diadakan itu ialah mengagihkan kurma kepada orang ramai dan menyampaikan sumbangan berupa air mineral di masjid dan surau di kawasan terpilih.

Katanya, sumbangan terbabit hanya dijalankan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memandangkan Sarawak masih lagi memerlukan permit untuk keluar zon rentas negeri.

“In shaa Allah…AMANAH Sarawak tetap mengadakan program kebajikan walaupun dalam skala yang kecil,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma dan Air Mineral di Kampung Tabuan Melayu, semalam.

Justeru, beliau bagi pihak AMANAH Sarawak mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan 1442H kepada seluruh umat Islam di negara khususnya di Sarawak.

Jelas Fadillah, Ramadan tahun ini merupakan yang kedua rakyat di Malaysia berdepan dengan pandemik Covid 19.

“Alhamdulillah…walaupun begitu, namun tahun ini masih ada ruang untuk melaksanakan ibadah di masjid atau surau dengan lebih terbuka mengikut norma baharu.

“Kesempatan ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperoleh keberkatan dan pada masa sama memperbanyakkan doa supaya musibah yang melanda dunia kini dilenyapkan dengan segera agar rutin kembali seperti biasa,” tambahnya.

Beliau menegaskan, bulan Ramadan di Malaysia diraikan oleh segenap penduduknya yang berbilang bangsa dan agama dalam suasana yang dapat menghidupkan rasa bersaudara dan saling menghormati antara satu dengan yang lain.

“Maka seharusnya kita mengekalkan suasana yang harmoni ini agar hidup sentiasa dalam keadaan yang damai.

“Semoga Ramadan kali ini akan menjadi titik mula untuk kita berubah dan memilih untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” ujar beliau lagi.