AMANAH Sarawak rancakkan penambahan ahli baru

AMANAH Sarawak rancakkan penambahan ahli baru

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak akan merancakkan lagi kempen penambahan ahli-ahli baharu terutamanya di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN12) nanti.

Menurut Setiausaha AMANAH Sarawak Fadillah Sabali, pihaknya berusaha memperkemaskan urusan parti dari segi penyaluran maklumat, maklum balas dan gerak kerja di lapangan.

Untuk tujuan itu katanya, AMANAH Sarawak berusaha merancakkan kempen penambahan ahli-ahli baharu di samping pada masa sama akan memperkasakan mereka dengan Program Kursus Asas Keahlian AMANAH (KALAM).

“Kita mahu agar ahli-ahli Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak menubuhkan cawangan baharu dengab lebih agresif dan cawangan yang telah ada pada masa sentiasa aktif di kawasan sekaligus akan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

“Selain itu, kita juga mahu mendapat maklum balas hasil daripada gerak kerja politik yang dilaksanakan mereka di lapangan masing-masing kelak, “ujar beliau ketika ditemui di Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching hari ini.

Fadillah berkata, setakat ini seramai 5,000 orang telah mendaftarkan diri sebagai ahli Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak di negeri ini dan dijangka akan bertambah selepas senarai nama lain yang masih dalam proses pendaftaran di ibu pejabat AMANAH Nasional di Kuala Lumpur mendapat kelulusan.

“In shaa Allah…kita akan pastikan AMANAH Sarawak untuk terus kekal relevan di negeri ini yang mana nilai yang dibawa dalam parti adalah yang terbaik untuk rakyat di Sarawak, ” tegas beliau lagi.

Tambahnya lagi, antara teras yang menjadi tunjang parti sekaligus sebagai panduan kepada keseluruhan ahli ialah amanah, berakhlak, kerjasama, peduli, profesional, inkulusif dan progresif.

“Sesungguhnya AMANAH itu adalah rahmah untuk semua berdasarkan teras yang digariskan oleh parti kepada seluruh ahli.

“Justeru, AMANAH Sarawak akan terus berusaha bagi memastikan parti ini menjadi pilihan penduduk dan masyarakat di negeri sebagai medan memperjuangkan hak di tanah air sendiri, ” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sebarang idea dan pendapat di kalangan ahli-ahli untuk terus bersama-sama memantapkan AMANAH Sarawak di persada politik di negeri ini.

Katanya, ahli-ahli boleh berhubung terus dengan beliau di talian 01133566854 jika ada maklumat dan sebarang pertanyaan berkaitan Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak.