Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak sampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran

Parti AMANAH Sarawak hari ini tampil menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sejingkat Ulu,Kuching.

Hadir menyampaikan sumbangan ialah Pengerusi AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi kepada keluarga mangsa yang diwakili Munirah Kamri.

“Saya berharap dengan bantuan itu, sedikit sebanyak akan meringankan beban kepada keluarga mangsa yang rumahnya telah musnah terbakar tempoh hari.

“Kami dari AMANAH Sarawak sentiasa mendoakan semoga mangsa sekeluarga tabah menghadapi dugaan tersebut, ” kata beliau selepas menyampaikan sumbangan di rumah mangsa di Kampung Sejingkat Ulu, Kuching hari ini.

Dalam kejadian baru-baru ini, sebuah rumah yang dihuni lapan orang sekeluarga telah musnah terbakar lebih kurang jam 3 petang.

Seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Tabuan Jaya,Padungan dan Petra Jaya telah terlibat bagi memadam kebakaran tersebut.

Sementara itu, anak mangsa, Munirah Kamri memberitahu keluarganya kini menumpang di rumah bapa saudara yang hanya berdepan dengan rumah mereka.

“Saya bagi pihak keluarga merakamkan terimakasih kepada AMANAH Sarawak yang hadir menyampaikan sumbangan.

“Kami amat terharu atas sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak sejak insiden kebakaran berlaku tempoh hari, ” katanya.