AMANAH Sarawak sedia hadapi PRN12 di DUN Demak Laut

Oleh Oleh RAYMOMD LUI

AMANAH Negeri Sarawak bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut yang bakal diadakan bila-bila masa.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnean berkata, setakat ini jentera AMANAH Cawangan Demak Laut telah pun digerakkan sejak tahun lalu dengan mengadakan program-program kebajikan di seluruh kawasan.

Katanya, program hanya dilaksanakan secara berskala kecil memandangkan Sarawak masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Alhamdulilah. Sambutan yang diterima penduduk setempat amat menggalakkan ketika beberapa program diadakan di sini.

“Malah, semasa program itu kita turut menerangkan kepada penduduk tempatan berkaitan isu-isu kawasan di DUN Demak Laut,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline pada program mengagihkan kurma di Demak Laut, hari ini.

Mengulas mengenai penubuhan penaja cawangan AMANAH Demak Laut, Hud Andri menegaskan setakat ini pihaknya telah berjaya menubuhkan enam penaja cawangan dan kini masih menanti kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan ketika ini berada di peringkat AMANAH Nasional.

Jelas beliau lagi, dengan tertubuhnya enam penaja cawangan itu akan memudahkan pergerakan jentera mengatur dan melaksanakan program-program kebajikan di seluruh DUN Demak Laut.

“Dengan adanya jentera yang sedia ada, saya yakin akan memudahkan calon AMANAH bergerak bagi melancarkan aktiviti sekali gus mendekati para pengundi dalam masa terdekat ini.

“Dan saya yakin calon yang bakal kita letakkan kelak mampu memberi saingan kepada mana-mana calon lain terutamanya dari Gabungan Parti Sarawak (GPS),” kata beliau.

Turut bersama pada program agihan kurma di Pasar Demak Laut hari ini ialah Timbalan Pengerusi Cawangan Demak Laut, Khairul Nikman Julaihi serta jentera AMANAH Demak Laut.

Selain di DUN Demak Laut, program agihan kurma turut diadakan di Dun Samariang, Muara Tuang dan Semop.