Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak setuju formula 3:3:3:1

Secara dasarnya Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak bersetuju dengan formula 3:3:3:1 seperti yang dicadangkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen walaupun menjadi parti yang paling sedikit mendapat kerusi.

FADILLAH SABALI

Justeru, menurut Setiausahanya Fadillah Sabali, AMANAH Sarawak sentiasa fokus untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 kali ini sekali gus percaya dengan kerjasama yang tulen dan ikhlas bakal memberikan hasil yang terbaik

Tegas beliau, AMANAH secara matematik telah pun memenuhi formula yang dicadangkan apabila mendapat konsensus bersama PH peringkat negeri Sarawak yang akan bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada mesyuarat 2 Januari lalu.

3:3:3:1 adalah pembahagian kerusi antara antara PKR, DAP, PSB dan AMANAH dari 82 kerusi DUN di Sarawak.

“Sebenarnya, kita melihat pertembungan lebih dua penjuru akan memberi kelebihan kepada parti lawan iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), namun kita tetap berusaha sebaik mungkin bagi berdepan dengan segala kemungkinan.

“Maka, sebagai parti yang telah bertanding sejak 2016, AMANAH telah menunjukkan kesungguhan berkhidmat kepada rakyat di DUN yang pernah ditandingi dengan konsisten dan tanpa jemu,” jelasnya.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Chong berkaitan fomula 3:3:3:1 bagi menghadapi PRN12 Sarawak nanti.

Chong turut memaklumkan PH Sarawak sedia bekerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan perkara itu akan dibincangkan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

Katanya, rundingan kerjasama yang bakal diadakan ialah berkaitan peruntukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan setakat ini telah ditentukan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di 47 kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 26 kerusi dan Parti AMANAH Negara dengan sembilan kerusi.

“Sekiranya kerjasama itu tercapai, maka 30 peratus daripada konstituensi negeri masing-masing akan dipertandingkan oleh DAP, PKR dan PSB di samping AMANAH bakal bertanding di 10 peratus daripada 82 kerusi DUN.

“Oleh demikian, ada sedikit pengubahsuaian akan dilakukan dalam peruntukan kerusi setiap parti gabungan PH kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Fadillah turut mengalu-alukan kehadiran PSB bersama-sama PH untuk menghadapi parti pemerintah GPS kerana mempunyai matlamat yang sama dengan PH.

“Setiap parti perlu belajar mengekang ego masing-masing untuk tidak mendabik dada kerana setiap kerusi mempunyai tarikan dan peluang kemenangan yang tersendiri.

“Perbincangan kerusi perlu didasarkan fakta dan analisis bukannya dengan emosi.

“Andaikata berlakunya pertembungan antara parti yang pernah berlaku dalam PRN sebelum ini, ketahuilah ia bukan disebabkan oleh parti komponen PH tetapi ia datang daripada parti lain,” tambah beliau lagi.