Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak sokong Naib Presiden dari Borneo

Sebahagian daripada Perwakilan AMANAH Sarawak merakamkan gambar bersama Fadilah Sabali.

Safri Yakup

Perwakilan dari AMANAH Sarawak, Safri Yakup menyokong penuh agar satu kerusi Naib Presiden AMANAH Nasional dilantik dari wakil Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.

Katanya,dengan pelantikan itu,ia akan memberikan keyakinan kepada para pengundi di kampung-kampung dan rumah panjang khususnya di Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN12)nanti.

“Ya sudah pasti…AMANAH Sarawak menyokong usul yang dibawa oleh AMANAH Kawasan Batu Sapi dan Sepanggar agar satu Naib Kerusi Presiden dikhaskan kepada wakil dari Borneo.

“Dengan pelantikan itu,saya yakin ia akan memberi semangat yang tinggi untuk para pengundi di kampung-kampung dan rumah panjang terutamanya di Sarawak dalam menghadapi PRN12 nanti,” katanya ketika diminta mengulas usul lantikan tersebut pada hari terakhir Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di IDCC Shah Alam hari ini.

Jelas beliau, berdasarkan pengalaman semasa kepimpinan nasional turun padang di kawasan Tanjung Manis sebelum ini, ternyata penduduk amat teruja dan mereka sehingga kini masih ingat dan sering bertanya bilakah pemimpin itu datang lagi.

“Kami jemput Datuk Hasanuddin ke Tanjung Manis pergi kawasan rumah panjang dan masuk ke rumah setinggan berjumpa dengan golongan B40.

“Justeru sehingga hari ini, penduduk tersebut masih ingat dengan beliau (Hasnuddin) yang sanggup datang melawat dan bertanya khabar dengan mereka.

“Begitu juga dengan Sany Hamzan dan Faiz Fadzil yang telah hadir berjumpa dengan golongan nelayan di Pulau Bruit dan ternyata mereka sering bertanya bilakah pemimpin ini akan datang lagi,” tambah beliau.

Tegasnya, daripada riak dan lenggok badan mereka, ini bermakna masyarakat dan penduduk di kawasan terbabit amat gembira dan tidak menyangka bahawa kehadiran pemimpin-pemimpin tersebut sanggup turun di kawasan mereka.

“Inilah tanda bahawa mereka bersedia dan boleh menerima kehadiran pemimpin kita sekali gus mengharapkan gerak kerja seperti ini harus dilakukan setiap masa,” ujarnya.

Sufri memberitahu, dalam belanjawan 2020 kerajaan telah memperuntukkan Sarawak dan Sabah dengan bajet yang tertinggi yang memberikan banyak peluang agenda ekonomi, pembangunan, kebajikan dan pendidikan.

Justeru kata beliau, dengan agenda ekonomi yang disediakan kerajaan itu, maka meletakkan jawatan Naib Presiden dari Borneo ini bakal memperteguhkan lagi keupayaan parti dalam menunaikan janji-janji manifesto.

“Usul melantik jawatan Naib Presiden dari Sarawak dan Sabah tidak sedikitpun merugikan parti malah ianya akan memperkayakan parti, mengangkat dan menjulang AMANAH sebagai suara akar umbi rakyat daripada dahulu, kini dan selamanya,” tambahnya lagi.