Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak sokong rakan mereka di Sabah diberikan peluang jadi calon

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak menyokong cadangan agar menampilkan calon mereka di Sabah untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN)Ke-15 kali ini.

Naib Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen (gambar atas) berkata, adalah diharapkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dapat memberikan laluan kepada AMANAH Sabah bagi meletakkan calon pada PRN kali ini.

Katanya, AMANAH Sabah dilihat memiliki calon yang berpotensi untuk diketengahkan sekali gus mampu menggantikan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ‘melompat’ baru-baru ini.

“Kami rakan AMANAH dari Sarawak berharap agar cadangan memberikan laluan kepada AMANAH Sabah untuk bertanding akan mendapat persetujuan daripada pemimpin peringkat atasan di negeri itu.

“Ini kerana, calon-calon yang bakal ditampilkan itu nanti adalah antara yang berpontensi bagi menggantikan ADUN yang telah melompat parti sebelum ini,” tegas beliau.

AMANAH MAHU CAPAI APA YANG PAS TAK CAPAI DI SABAH

Hud Andri berkata demikian ketika mengulas cadangan Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad yang mengharapkan supaya calon AMANAH Sabah diberikan peluang untuk bertanding pada PRN negeri itu kali ini.

Beliau dipetik sebagai berkata, AMANAH berhasrat untuk memenangi kerusi sulung PRN15 Sabah yang melibatkan 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Menurut Khalid, AMANAH mahu mencipta kejayaan itu memandangkan Pas tidak pernah memenangi sebarang kerusi sejak menyertai PRN Sabah.

“Memang AMANAH berhasrat untuk terlibat dalam PRN Sabah. Kami sememangnya hendak bertanding.

“AMANAH mahu capai apa yang Pas tak pernah capai, iaitu memenangi kerusi sulung di Sabah,”jelas beliau.

Menyentuh penggunaan logo atau lambang Warisan, Hud Andri menegaskan hanya pengundi di Sabah sahaja yang mengetahui sentimen berkenaan.

“Apa yang penting, calon kita mesti mampu menang lebih-lebih lagi menampilkan seorang calon muda dari Warisan atau Pakatan Harapan dari negeri Sabah nanti,” ujarnya lagi.

PRN Sabah bakal berlangsung dalam tempoh 60 hari selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN, 30 Julai lalu bagi menggagalkan cubaan rampasan kuasa.

Sehubungan itu, PRN perlu diadakan sebelum 29 September depan.